"La la,
La nahtajul ma-la,
Kai nazdada jama-la,
Jauharna huna,
Fi qalbi talala,
La la,
Nurdhin nasi bima-la,
Nardhohu la na ha-la,
Za-ka jamaluna,
Yasmu yataa’la
Oh Wo Oh (6x)
Kun anta tazdada jamala"
-Kun Anta, Humood Alkhudher-
Kun anta membawa maksud jadi diri sendiri dalam Bahasa Melayu. Secara kasar, rata-rata rakyat Malaysia menerima baik lagu ini dan membawa mesej yang sangat baik supaya menjadi diri sendiri. Pada saya ini satu perkara yang sangat baik kerana orang Melayu yang juga rakyat Malaysia khususnya perlu menjadi diri sendiri. Orang tua-tua pasti pernah mengatakan bahawa kita orang Melayu kaya dengan adat dan budi pekerti dan kita sebagai generasi muda pada masa ini harus pegang dan ikut segala amalan yang baik ini.
Namun, apa yang ingin saya ketengahkan disini ialah apabila ada sesetengah orang mengambil KUN ANTA atau menjadi diri sendiri ini sebagai lesen untuk mereka sesuka hati membuat segala perkara yang mereka suka samada baik mahupun sebaliknya. Mereka mungkin keliru ataupun tidak faham erti kata sebenar apa yang sebenar-benarnya yang dimaksudkan dan dibenarkan untuk menjadi diri sendiri.
Sebagai contoh, Aminah suka meninggikan suara apabila bercakap dengan orang tua. Kemudian apabila ada yang menegur, Aminah menggunakan lesen KUN ANTA beliau untuk menghalalkan tindakan beliau itu. Ini adalah salah sama sekali. Perkara yang buruk yang ada dalam diri harus kita ubah menjadi lebih baik.
Anwar suka makan berdiri, Khairy suka memakai seluar pendek atas lutut, Lofa tidak suka bertudung di khalayak ramai dan sebagainya. Ini semua tidak boleh sama sekali memakai lesen KUN ANTA. Saya juga terdengar satu ketika dahulu sebuah stesen 'Hangat' FM membuat iklan supaya menjadi diri sendiri dan apa yang dapat dirumuskan daripada iklan tersebut ialah tidak perlu makan secara sopan dihadapan ibu mertua dan hanya perlu menjadi diri sendiri. Pada pandangan saya, perkara ini tidak betul. Kita diajar supaya menjadi seseorang yang mengamalkan sifat sopan santun dan memelihara adab ketika bersama orang tua. Berlaku sopan dihadapan orang ibu mertua adalah membawa erti kita mengamalkan adab sopan dan menghormati beliau sebagai ibu mertua yang lebih tua daripada kita. Bukan bermaksud kita seorang yang hipokrit.
Apa yang dibenarkan untuk memakai lesen KUN ANTA adalah seperti contoh apabila Zahid makan bersama rakan-rakannya di kafe, Zahid seorang sahaja yang makan menggunakan tangan manakala rakan-rakan yang lain menggunakan sudu. Tetapi ada beza dengan situasi apabila kita terlibat dengan makan beradab bersama YDP Agong sebagai contoh. Adalah menjadi protokol untuk kita makan menggunakan sudu. Protokol dan peraturan harus dahulu diikuti dan dipatuhi barulah boleh kita menggunakan lesen KUN ANTA. Analoginya sama seperti anda mengatakan suka memakai tshirt ke sekolah tetapi tidak boleh kerana peraturan di sekolah memerlukan pelajar sekolah memakai uniform sekolah.
Saya harap mereka di luar sana tidak menzalimi perkataan KUN ANTA ataupun menjadi diri sendiri ini. Bezakan dan fahamilah maksud sebenar dalam mesej menjadi diri sendiri ini. Semoga kita semua dapat menjadi diri sendiri dalam erti kata yang sebenar. Semoga Allah permudahkan segalanya.