"La la,
La nahtajul ma-la,

Kai nazdada jama-la,

Jauharna huna,

Fi qalbi talala,


La la,
Nurdhin nasi bima-la,

Nardhohu la na ha-la,

Za-ka jamaluna,

Yasmu yataa’la

Oh Wo Oh (6x)
Kun anta tazdada jamala"
-Kun Anta, Humood Alkhudher-

Kun anta membawa maksud jadi diri sendiri dalam Bahasa Melayu. Secara kasar, rata-rata rakyat Malaysia menerima baik lagu ini dan membawa mesej yang sangat baik supaya menjadi diri sendiri. Pada saya ini satu perkara yang sangat baik kerana orang Melayu yang juga rakyat Malaysia khususnya perlu menjadi diri sendiri. Orang tua-tua pasti pernah mengatakan bahawa kita orang Melayu kaya dengan adat dan budi pekerti dan kita sebagai generasi muda pada masa ini harus pegang dan ikut segala amalan yang baik ini.

Namun, apa yang ingin saya ketengahkan disini ialah apabila ada sesetengah orang mengambil KUN ANTA atau menjadi diri sendiri ini sebagai lesen untuk mereka sesuka hati membuat segala perkara yang mereka suka samada baik mahupun sebaliknya. Mereka mungkin keliru ataupun tidak faham erti kata sebenar apa yang sebenar-benarnya yang dimaksudkan dan dibenarkan untuk menjadi diri sendiri.

Sebagai contoh, Aminah suka meninggikan suara apabila bercakap dengan orang tua. Kemudian apabila ada yang menegur, Aminah menggunakan lesen KUN ANTA beliau untuk menghalalkan tindakan beliau itu. Ini adalah salah sama sekali. Perkara yang buruk yang ada dalam diri harus kita ubah menjadi lebih baik.

Anwar suka makan berdiri, Khairy suka memakai seluar pendek atas lutut, Lofa tidak suka bertudung di khalayak ramai dan sebagainya. Ini semua tidak boleh sama sekali memakai lesen KUN ANTA. Saya juga terdengar satu ketika dahulu sebuah stesen 'Hangat' FM membuat iklan supaya menjadi diri sendiri dan apa yang dapat dirumuskan daripada iklan tersebut ialah tidak perlu makan secara sopan dihadapan ibu mertua dan hanya perlu menjadi diri sendiri. Pada pandangan saya, perkara ini tidak betul. Kita diajar supaya menjadi seseorang yang mengamalkan sifat sopan santun dan memelihara adab ketika bersama orang tua. Berlaku sopan dihadapan orang ibu mertua adalah membawa erti kita mengamalkan adab sopan dan menghormati beliau sebagai ibu mertua yang lebih tua daripada kita. Bukan bermaksud kita seorang yang hipokrit.

Apa yang dibenarkan untuk memakai lesen KUN ANTA adalah seperti contoh apabila Zahid makan bersama rakan-rakannya di kafe, Zahid seorang sahaja yang makan menggunakan tangan manakala rakan-rakan yang lain menggunakan sudu. Tetapi ada beza dengan situasi apabila kita terlibat dengan makan beradab bersama YDP Agong sebagai contoh. Adalah menjadi protokol untuk kita makan menggunakan sudu. Protokol dan peraturan harus dahulu diikuti dan dipatuhi barulah boleh kita menggunakan lesen KUN ANTA. Analoginya sama seperti anda mengatakan suka memakai tshirt ke sekolah tetapi tidak boleh kerana peraturan di sekolah memerlukan pelajar sekolah memakai uniform sekolah.

Saya harap mereka di luar sana tidak menzalimi perkataan KUN ANTA ataupun menjadi diri sendiri ini. Bezakan dan fahamilah maksud sebenar dalam mesej menjadi diri sendiri ini. Semoga kita semua dapat menjadi diri sendiri dalam erti kata yang sebenar. Semoga Allah permudahkan segalanya.

Kita tersenyum, ketawa, gembira dalam menjalani kehidupan. Disaat kita bersuka kadangkala kita lupa bahawa segala gelak dan tawa itu adalah nikmat daripada tuhan iaitu Allah. Nikmat Allah kepada kita sebagai hambaNya cukup luas. Tidur yang lena itu juga merupakan satu nikmat yang diberikan kepada kita. Tetapi manusia sebagai hambaNya ketika senang sering terlupa bahawa kesenangan itu adalah daripada Allah SWT.

Satu hari kita diuji oleh Allah dengan Allah menarik sedikit nikmat yang diberi. Kita murung, sedih, menangis dan ketika itu barulah kita kembali duduk di tikar sejadah, mengangkat tangan untuk meminta ampun atas segala perbuatan kita selama ini. Kita minta supaya Allah tidak menarik nikmat-nikmat yang diberi.

Allah maha pengampun juga maha pemurah. Dia beri kembali segala nikmat dan ketika nikmat itu kembali, kita melarikan diri dari tuhan semula. Inilah realiti kebanyakkan manusia. Dan kitaran ini akan berterusan.

Ayuh kita berubah. Ayuh kita berjuang untuk menjadi hambaNya yang mengingatiNya dengan istiqamah. Beribadah kepadaNya dengan istiqamah. Semoga segala yang kita lakukan mendapat keredhaanNya. InsyaAllah.
1. Identiti secara umumnya dapat diterjemahkan sebagai satu lambang kepada sesuatu budaya, cara hidup dan lain-lain.

2. Bagi Kamus Dewan, identiti diterjemah sebagai (idéntiti) sifat-sifat (ciri-ciri dan sebagainya) yang terdapat pada seseorang atau sesuatu yang sebagai suatu keseluruhan memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain.

3. Dalam ayat di atas, dua perkara penting yang menerangkan maksud identiti adalah perkataan lambang dan ayat mengasingkannya daripada yang lain.

4. Setiap bangsa dan negara pasti akan ada identiti yang tersendiri. Ini adalah kerana bangsa dan negara mempunyai lambang mereka yang tersendiri dan pasti mereka adalah sesebuah kelompok yang berbeza daripada yang lain dan bukan meniru identiti orang lain dan membawa masuk dalam identiti sesebuah bangsa atau negara.


5. Jika kita melihat negara Jepun. Apa yang terlintas di dalam minda kita adalah mereka sebuah bangsa yang suka membaca dan mempunyai sifat pembersih. Mereka cintakan ilmu dan kehidupan mereka cukup teratur. Jika dari aspek teknologi, jenama Toshiba, Fujitsu, Sony dan lain-lain menjadi identiti kepada Jepun.

6. Jika Korea Selatan pula, walaupun ada beberapa kontroversi mengenai budaya bawaan K-POP oleh kerajaan mereka, tetapi mereka membawa identiti mereka sendiri. Rakyat korea beridentiti KPOP. Mereka juga bangga dengan produk-produk mereka. Samsung, LG, Hyundai, KIA merupakan produk mereka bertaraf antarabangsa telah menjadi identiti mereka.


7. Jika di sebelah barat. Amerika Syarikat sebagai contoh, umum mengetahui negara ini sebagai sebuah negara dan bangsa yang begitu maju. Nama-nama budaya yang membawa kepada satu cara hidup melalui fesyen, music dan lain-lain seperti HIP HOP, breakdance, punk, dan sebagainya merupakan satu produk negara sehingga menjadi ikutan dalam masyarakat dunia sudah pasti ia merupakan satu identiti Amerika Syarikat yang membanggakan warganegara mereka. Rakyat mereka dikenali oleh dunia dengan budaya tersebut. Mereka juga cukup bangga dengan produk automotif mereka General Motors, Chevrolet. Jika ke kota New York, Yellow Cabs merupakan simbol kemajuan sistem pengangkutan awam (teksi) mereka yang saya pasti terkenal di seantero dunia.


8. Di timur tengah, sama ada islam ataupun tidak, budaya pemakaian serban telah menjadi identiti mereka. Tarian dan lagu-lagu irama arab melambangkan budaya seni timur tengah.

9. Malaysia. Apakah identiti kita rakyat Malaysia?

10. Malaysia dikenali dunia sebagai sebuah masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Bagi bangsa Melayu pemakaian baju Melayu bagi lelaki dan baju Kurung bagi wanita adalah sebuah identiti. Produk automotif negara Proton turut menjadi lambang bagi negara Malaysia. Banyak lagi budaya masyarakat dan produk-produk Malaysia yang menjadi identiti negara.

11. Persoalannya adakah identiti negara mahupun bangsa menjadi sesuatu yang dibanggakan rakyat Malaysia?

12. Adakah kita lebih bangga memakai fesyen negara luar berbanding fesyen negara sendiri? Adakah memakai baju kurung atas sebab baju rasmi negara ataupun pejabat? Adakah kita mengkeji produk negara dan memuji produk luar negara?

13. Ini bukan sikap yang menggambarkan kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Negara yang maju rakyatnya sayangkan produk tempatan kerana itu adalah identiti mereka. 



14. Adakah satu hari nanti negara kita sudah tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan identiti? Perkara sekecil-kecil plat pendaftaran kenderaan juga rakyat negara kita meniru negara lain dengan meletakkan logo negara kesatuan eropah. Perkara-perkara besar tidak perlu disebut saya pasti kita semua tahu apakah perkara-perkara yang menjadi pujaan rakyat Malaysia sehingga merosakkan identiti negara. Jadi dimanakah letaknya identiti negara pada diri kita?

15. Renung-renungkan. Supaya rakyat Malaysia menjadi sebuah rakyat yang maju beridentiti sendiri. InsyaAllah.
                           
1. Korea Selatan. Saya percaya majoriti daripada rakyat Malaysia akan setuju apabila saya mengatakan bahawa Korea Selatan adalah sebuah negara yang hebat.

2. Saya juga percaya ramai daripada rakyat Malaysia yang menyanjung produk-produk tidak kira dalam apa jua bentuk seperti elektronik, hiburan dan juga lain-lain dari Korea Selatan. Sanjungan kita sebagai rakyat Malaysia terhadap produk kelahiran Korea Selatan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Ada yang sekadar suka akan produk keluaran mereka, ada juga yang rasa bangga memiliki gajet-gajet keluaran mereka, bangga menyimpan video-video mahupun drama-drama keluaran mereka dan yang lebih hebat lagi ada yang terlampau fanatik dengan produk keluaran mereka sehingga langsung tidak boleh dikritik.

3. Seperti kata-kata saya di atas, saya secara peribadi juga bersetuju bahawa Korea Selatan adalah sebuah negara yang hebat.

4. Walaubagaimanapun, persetujuan saya bahawa Korea Selatan adalah satu negara yang hebat tidak bererti saya juga fanatik terhadap penyanyi-penyanyi mahupun drama-drama mereka. Saya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa salah bagi seorang rakyat Malaysia meminati produk-produk keluaran Korea Selatan ini.

5. Namun kita juga harus tahu dan faham bahawa terdapat perbezaan antara minat dan terlampau fanatik dan tidak keterlaluan juga saya rasa jika saya menggunakan perkataan taasub.

6. Sebagaimana yang kita tahu, amalan berlebih-lebihan adalah ditegah di dalam agama Islam. Saya tidak bercadang untuk mengulas mengenai hukum-hukum agama mengenai isu ini.

7. Isu yang ingin saya bawakan ialah apakah dia rahsia disebalik kejayaan sebuah negara yang diberi nama Korea Selatan ini. Saya percaya nama SAMSUNG, LG, KIA, HYUNDAI, ratusan produk hiburan dari K-POP, K-DRAMA dan banyak lagi yang saya percaya anda lebih tahu berada dekat dengan hati rakyat Malaysia.

8. Saya tahu ramai daripada kita rakyat Malaysia tahu bahawa dahulu Korea Selatan merupakan sebuah negara yang mundur, ekonominya berada dibelakang Malaysia. Yang lebih penting, Korea Selatan juga merupakan salah sebuah negara yang termiskin di dunia pada era tahun 1950. Tetapi kini telah jauh meninggalkan Malaysia. Korea Selatan sudah lebih maju dengan memegang status sebuah negara maju, serta dari segi ekonomi menduduki tangga ke-14 dari segi KDNK nominal dan ke-12 dari segi pariti kuasa beli di dunia sekaligus layak menjadi sebuah negara G-20.

9. Saya juga tidak mahu bercakap mengenai ekonomi. Saya bukan berlatarbelakangkan seorang pelajar ekonomi.

10. Saya hanya mahu bercakap soal yang lebih penting. Perkara yang pokok yang perlu dicontohi oleh Malaysia daripada kisah kejayaan Korea Selatan.

11. Kejayaan yang ditempa oleh Korea Selatan terdiri daripada beberapa aspek. Namun perkara utama penyumbang kepada kejayaan mereka adalah satu semangat nasionalisme, semangat cintakan negara mereka yang begitu utuh dalam masyarakat Korea Selatan.

12. Hyundai. Sebuah syarikat pembuat kereta nasional dari negara Korea Selatan. Dahulunya syarikat pengeluar kereta ini dikutuk, ataupun dalam bahasa yang lebih sopan direndah-rendahkan oleh masyarakat antarabangsa. Jika anda menonton filem Fast and Furious (saya tidak berapa pasti edisi berapa) terdapat selingan dialog memerli kereta-kereta daripada syarikat Hyundai ini.



13. Namun kini, dihadapan mata rakyat Malaysia sendiri, kita dapat lihat kemajuan, kejayaan yang ditempa oleh Hyundai dalam penghasilan kereta. Kini Hyundai sudah setaraf pengeluar-pengeluar syarikat kereta antarabangsa yang lain. Tapi kenapa mereka boleh maju? Kenapa mereka boleh berjaya?

14. Kejayaan yang dikecapi adalah kerana semangat nasionalisme daripada rakyat-rakyat mereka sendiri, Korea Selatan.

15. Dengan satu sokongan ekonomi dengan meletakkan barangan keluaran negara mereka adalah barangan keutamaan untuk dibeli oleh majoriti rakyat mereka maka syarikat-syarikat dari negara mereka sedikit demi sedikit syarikat-syarikat mereka meningkatkan mutu dan kualiti sehingga berjaya bersaing dan menjadikan produk-produk keluaran mereka salah satu pilihan di peringkat antarabangsa.

16. Jika anda tidak percaya, lihat saja filem-filem mereka, drama-drama mereka. Majoriti daripada cerita-cerita keluaran mereka menggunakan produk-produk keluaran tempatan.

17. Saya sedih apabila ramai yang tidak tahu sebagai seorang rakyat di sesebuah negara, mereka perlu berkorban. Rakyat Korea Selatan telah bekorban menggunakan kereta-kereta yang kurang berkualiti pada masa dahulu. Sebagai seorang yang melihat dan merasai sendiri kondisi kereta-kereta jenama dari Korea Selatan ini, saya tahu bagaimana keadaan kereta buatan mereka dahulu. Kini, kereta mereka sudah jauh berada dihadapan dari segi tahap kemajuan dari pelbagai aspek.

18. Saya percaya kita sebagai rakyat Malaysia apabila pergi ke panggung wayang dan apabila ingin memilih filem yang ingin ditonton dan pada ketika itu anda memilih cerita Melayu pasti ada dalam kalangan rakan anda yang berkata dan mempersoalkan tindakan anda untuk menonton filem Melayu tersebut. Mereka membuat dan meninggalkan persepsi kepada orang ramai bahawa filem-filem tempatan Malaysia tidak mempunyai kualiti, mengarut, tidak menyeronokkan dan sebagainya.

19. Saya tidak tahu kenapa apabila mereka menonton filem-filem luar negara dan saya sendiri menonton pada masa yang sama dan mengesan pelbagai kesalahan, ada juga yang mengarut tetapi mereka mengunci mulut. Kenapa? Kerana itu adalah filem antarabangsa. Filem international. Sedar atau tidak sudahlah anda tidak menyokong industri negara anda sendiri malah anda telah bersikap double standard dalam menghukum produk-produk tempatan. Benar mungkin sebahagian daripada filem negara kita kurang sedikit dari segi kualiti namun adalah tidak wajar menghukum seolah-olah semuanya buruk.

20. Mungkin ada juga yang berpendirian bahawa jika mereka menyokong industri tempatan tetapi kualiti produk-produk dalam negara akan tetap berada dalam keadaan yang kurang berkualiti. Adalah menjadi satu tanggungjawab seorang produser/pengarah filem/pengarah syarikat automotif/dan lain-lain untuk sentiasa meningkatkan mutu produk mereka. Saya rasa apabila masyarakat kita telah bersatu dan kita should put the trust on them bahawa mereka akan melakukan yang terbaik. Mereka perlu menjadi yang terbaik untuk bersaing di peringkat global.



21. Proton. Saya pasti kita semua tahu berapa ramai haters produk keluaran Proton. Dengan sokongan rakyat, KIA, Hyundai yang dahulunya merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta yang biasa-biasa telah menjadi sebuah pengeluar yang bertaraf international competitor. Lain pula kisah Proton. Rakyat Malaysia kebanyakkannya membenci produk mereka walaupun telah banyak perubahan dari segi kemajuan dan kecanggihan sistem serta kualiti. Proton memerlukan rakyat Malaysia. Sokongan rakyat Malaysia kepada produk tempatan ini adalah penting untuk Proton terus bergerak ke hadapan menjadi sebuah pengeluar kenderaan bertaraf dunia.

22. Saya menulis entri ini bukanlah untuk memburuk-burukkan rakyat Malaysia. Niat saya adalah untuk melihat kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Percayalah itu adalah kunci utama bagi sesebuah bangsa dan negara untuk maju. Bukan hanya Korea Selatan tetapi di negara-negara maju yang lain anda akan lihat betapa mereka bangga dengan produk-produk negara mereka.

23. Semangat cintakan negara harus ada dalam setiap individu dalam negara ini. Anda boleh klik di link di bawah dan lihat bagaimana orang luar bangga dengan Malaysia dan isu yang mereka perkatakan adalah semangat nasionalisme. Klik Orang luar bangga dengan Malaysia.

24. Saya juga perhatikan apabila rakyat Malaysia ke luar negara dan melihat sesuatu yang hebat berbanding Malaysia, mereka akan memuji negara tersebut dan mengutuk negara sendiri.

25. Saya lihat perkara ini adalah satu penyakit yang serius. Apabila kita lihat kelebihan negara luar dan kekurangan negara kita, tanam dalam diri bahawa kita akan cuba ubah kekurangan itu menjadi lebih baik malah lebih baik daripada negara luar tersebut.

26. Jika semua rakyat Malaysia mempunyai sikap seperti itu pasti Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang maju dan akan dihormati oleh masyarakat dunia.

27. Malaysia harus menjadi sebuah negara maju yang beridentiti sendiri. Masalah identiti ini saya akan menulis di entri yang lain pada masa akan datang.

28. Ingat, selain daripada minat kepada hebatan negara luar, cuba ambil contoh mengapa mereka hebat dan terapkan dalam negara kita dengan cara kita.

29. Semoga rakyat Malaysia akan menjadi sebuah rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Semoga Malaysia berada dalam landasan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

30. Akhir kata saya tahu, rakyat Malaysia BOLEH! Sekian.

Kenapa saya membuka blog?

Kewujudan laman-laman blog tidak dapat dinafikan telahpun lama wujud dan berkembang. Namun minat saya terhadap menulis di blog pada dahulunya amatlah kurang ataupun belum timbul minat untuk menulis dengan serius.


Apabila saya rasakan banyak pendapat dari diri saya yang perlu saya ketengahkan dari isu-isu semasa tetapi dalam masa yang sama facebook dan twitter bukan lagi satu medium yang relevan bagi saya untuk menulis atas sebab-sebab tertentu jadi saya memilih untuk memulakan penulisan saya di blog.

Tulisan-tulisan yang menjadi inspirasi saya di blog adalah tulisan daripada Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dari laman chedet.cc. Pada awalnya, saya bertemu dengan tulisan-tulisan Tun Dr Mahathir ini apabila saya membeli buku kompilasi tulisan-tulisan di blog beliau versi pertama. Namun setelah beberapa hari membeli dan membaca buku versi yang pertama, buku tersebut hilang dan benar-benar hilang (total lost). Namun, disebabkan minat terhadap tulisan beliau, saya terus mendapatkan bagi versi kedua sejurus sahaja diterbitkan.


 Saya bersetuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir;

"When I am able to pen my thoughts, it becomes somewhat a 'blueprint' for me to pursue the ideas and whenever possible, work towards making it a reality. And I also believe if we are unable to pen our thoughts, they will eventually be forgotten."


"Once an idea is forgotten, it is as good as if it never existed."



Atas dasar yang lebih kurang sama juga, maka dengan itu saya mengambil keputusan untuk mula menulis blog.


Saya tidak bercadang untuk menulis 'a world public diary' yang menulis tentang kisah-kisah kehidupan diri saya tetapi untuk mengeluarkan pendapat-pendapat dan idea-idea peribadi saya. Saya juga berharap jika selepas ini ada yang kurang bersetuju tentang pendapat-pendapat ataupun idea-idea saya, saya membuka pintu perbincangan tapi tidak jika sengaja menghentam tanpa asas.

Semoga tulisan-tulisan saya diterima ramai. amin.

sekian,
wasalam.