KOREA

                           
1. Korea Selatan. Saya percaya majoriti daripada rakyat Malaysia akan setuju apabila saya mengatakan bahawa Korea Selatan adalah sebuah negara yang hebat.

2. Saya juga percaya ramai daripada rakyat Malaysia yang menyanjung produk-produk tidak kira dalam apa jua bentuk seperti elektronik, hiburan dan juga lain-lain dari Korea Selatan. Sanjungan kita sebagai rakyat Malaysia terhadap produk kelahiran Korea Selatan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Ada yang sekadar suka akan produk keluaran mereka, ada juga yang rasa bangga memiliki gajet-gajet keluaran mereka, bangga menyimpan video-video mahupun drama-drama keluaran mereka dan yang lebih hebat lagi ada yang terlampau fanatik dengan produk keluaran mereka sehingga langsung tidak boleh dikritik.

3. Seperti kata-kata saya di atas, saya secara peribadi juga bersetuju bahawa Korea Selatan adalah sebuah negara yang hebat.

4. Walaubagaimanapun, persetujuan saya bahawa Korea Selatan adalah satu negara yang hebat tidak bererti saya juga fanatik terhadap penyanyi-penyanyi mahupun drama-drama mereka. Saya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa salah bagi seorang rakyat Malaysia meminati produk-produk keluaran Korea Selatan ini.

5. Namun kita juga harus tahu dan faham bahawa terdapat perbezaan antara minat dan terlampau fanatik dan tidak keterlaluan juga saya rasa jika saya menggunakan perkataan taasub.

6. Sebagaimana yang kita tahu, amalan berlebih-lebihan adalah ditegah di dalam agama Islam. Saya tidak bercadang untuk mengulas mengenai hukum-hukum agama mengenai isu ini.

7. Isu yang ingin saya bawakan ialah apakah dia rahsia disebalik kejayaan sebuah negara yang diberi nama Korea Selatan ini. Saya percaya nama SAMSUNG, LG, KIA, HYUNDAI, ratusan produk hiburan dari K-POP, K-DRAMA dan banyak lagi yang saya percaya anda lebih tahu berada dekat dengan hati rakyat Malaysia.

8. Saya tahu ramai daripada kita rakyat Malaysia tahu bahawa dahulu Korea Selatan merupakan sebuah negara yang mundur, ekonominya berada dibelakang Malaysia. Yang lebih penting, Korea Selatan juga merupakan salah sebuah negara yang termiskin di dunia pada era tahun 1950. Tetapi kini telah jauh meninggalkan Malaysia. Korea Selatan sudah lebih maju dengan memegang status sebuah negara maju, serta dari segi ekonomi menduduki tangga ke-14 dari segi KDNK nominal dan ke-12 dari segi pariti kuasa beli di dunia sekaligus layak menjadi sebuah negara G-20.

9. Saya juga tidak mahu bercakap mengenai ekonomi. Saya bukan berlatarbelakangkan seorang pelajar ekonomi.

10. Saya hanya mahu bercakap soal yang lebih penting. Perkara yang pokok yang perlu dicontohi oleh Malaysia daripada kisah kejayaan Korea Selatan.

11. Kejayaan yang ditempa oleh Korea Selatan terdiri daripada beberapa aspek. Namun perkara utama penyumbang kepada kejayaan mereka adalah satu semangat nasionalisme, semangat cintakan negara mereka yang begitu utuh dalam masyarakat Korea Selatan.

12. Hyundai. Sebuah syarikat pembuat kereta nasional dari negara Korea Selatan. Dahulunya syarikat pengeluar kereta ini dikutuk, ataupun dalam bahasa yang lebih sopan direndah-rendahkan oleh masyarakat antarabangsa. Jika anda menonton filem Fast and Furious (saya tidak berapa pasti edisi berapa) terdapat selingan dialog memerli kereta-kereta daripada syarikat Hyundai ini.



13. Namun kini, dihadapan mata rakyat Malaysia sendiri, kita dapat lihat kemajuan, kejayaan yang ditempa oleh Hyundai dalam penghasilan kereta. Kini Hyundai sudah setaraf pengeluar-pengeluar syarikat kereta antarabangsa yang lain. Tapi kenapa mereka boleh maju? Kenapa mereka boleh berjaya?

14. Kejayaan yang dikecapi adalah kerana semangat nasionalisme daripada rakyat-rakyat mereka sendiri, Korea Selatan.

15. Dengan satu sokongan ekonomi dengan meletakkan barangan keluaran negara mereka adalah barangan keutamaan untuk dibeli oleh majoriti rakyat mereka maka syarikat-syarikat dari negara mereka sedikit demi sedikit syarikat-syarikat mereka meningkatkan mutu dan kualiti sehingga berjaya bersaing dan menjadikan produk-produk keluaran mereka salah satu pilihan di peringkat antarabangsa.

16. Jika anda tidak percaya, lihat saja filem-filem mereka, drama-drama mereka. Majoriti daripada cerita-cerita keluaran mereka menggunakan produk-produk keluaran tempatan.

17. Saya sedih apabila ramai yang tidak tahu sebagai seorang rakyat di sesebuah negara, mereka perlu berkorban. Rakyat Korea Selatan telah bekorban menggunakan kereta-kereta yang kurang berkualiti pada masa dahulu. Sebagai seorang yang melihat dan merasai sendiri kondisi kereta-kereta jenama dari Korea Selatan ini, saya tahu bagaimana keadaan kereta buatan mereka dahulu. Kini, kereta mereka sudah jauh berada dihadapan dari segi tahap kemajuan dari pelbagai aspek.

18. Saya percaya kita sebagai rakyat Malaysia apabila pergi ke panggung wayang dan apabila ingin memilih filem yang ingin ditonton dan pada ketika itu anda memilih cerita Melayu pasti ada dalam kalangan rakan anda yang berkata dan mempersoalkan tindakan anda untuk menonton filem Melayu tersebut. Mereka membuat dan meninggalkan persepsi kepada orang ramai bahawa filem-filem tempatan Malaysia tidak mempunyai kualiti, mengarut, tidak menyeronokkan dan sebagainya.

19. Saya tidak tahu kenapa apabila mereka menonton filem-filem luar negara dan saya sendiri menonton pada masa yang sama dan mengesan pelbagai kesalahan, ada juga yang mengarut tetapi mereka mengunci mulut. Kenapa? Kerana itu adalah filem antarabangsa. Filem international. Sedar atau tidak sudahlah anda tidak menyokong industri negara anda sendiri malah anda telah bersikap double standard dalam menghukum produk-produk tempatan. Benar mungkin sebahagian daripada filem negara kita kurang sedikit dari segi kualiti namun adalah tidak wajar menghukum seolah-olah semuanya buruk.

20. Mungkin ada juga yang berpendirian bahawa jika mereka menyokong industri tempatan tetapi kualiti produk-produk dalam negara akan tetap berada dalam keadaan yang kurang berkualiti. Adalah menjadi satu tanggungjawab seorang produser/pengarah filem/pengarah syarikat automotif/dan lain-lain untuk sentiasa meningkatkan mutu produk mereka. Saya rasa apabila masyarakat kita telah bersatu dan kita should put the trust on them bahawa mereka akan melakukan yang terbaik. Mereka perlu menjadi yang terbaik untuk bersaing di peringkat global.



21. Proton. Saya pasti kita semua tahu berapa ramai haters produk keluaran Proton. Dengan sokongan rakyat, KIA, Hyundai yang dahulunya merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta yang biasa-biasa telah menjadi sebuah pengeluar yang bertaraf international competitor. Lain pula kisah Proton. Rakyat Malaysia kebanyakkannya membenci produk mereka walaupun telah banyak perubahan dari segi kemajuan dan kecanggihan sistem serta kualiti. Proton memerlukan rakyat Malaysia. Sokongan rakyat Malaysia kepada produk tempatan ini adalah penting untuk Proton terus bergerak ke hadapan menjadi sebuah pengeluar kenderaan bertaraf dunia.

22. Saya menulis entri ini bukanlah untuk memburuk-burukkan rakyat Malaysia. Niat saya adalah untuk melihat kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Percayalah itu adalah kunci utama bagi sesebuah bangsa dan negara untuk maju. Bukan hanya Korea Selatan tetapi di negara-negara maju yang lain anda akan lihat betapa mereka bangga dengan produk-produk negara mereka.

23. Semangat cintakan negara harus ada dalam setiap individu dalam negara ini. Anda boleh klik di link di bawah dan lihat bagaimana orang luar bangga dengan Malaysia dan isu yang mereka perkatakan adalah semangat nasionalisme. Klik Orang luar bangga dengan Malaysia.

24. Saya juga perhatikan apabila rakyat Malaysia ke luar negara dan melihat sesuatu yang hebat berbanding Malaysia, mereka akan memuji negara tersebut dan mengutuk negara sendiri.

25. Saya lihat perkara ini adalah satu penyakit yang serius. Apabila kita lihat kelebihan negara luar dan kekurangan negara kita, tanam dalam diri bahawa kita akan cuba ubah kekurangan itu menjadi lebih baik malah lebih baik daripada negara luar tersebut.

26. Jika semua rakyat Malaysia mempunyai sikap seperti itu pasti Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang maju dan akan dihormati oleh masyarakat dunia.

27. Malaysia harus menjadi sebuah negara maju yang beridentiti sendiri. Masalah identiti ini saya akan menulis di entri yang lain pada masa akan datang.

28. Ingat, selain daripada minat kepada hebatan negara luar, cuba ambil contoh mengapa mereka hebat dan terapkan dalam negara kita dengan cara kita.

29. Semoga rakyat Malaysia akan menjadi sebuah rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Semoga Malaysia berada dalam landasan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

30. Akhir kata saya tahu, rakyat Malaysia BOLEH! Sekian.

Related Posts

1 comment

  1. Bangga saya bah jadi rakyat malaysia..saya yakin malaysia mampu mengejar kemajuan korea selatan

    ReplyDelete